Wednesday, July 1, 2009

Baju Melayu Michael Jackson

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
KEHILANGAN Raja Pop, Michael Jackson masih diratapi peminat di seluruh dunia.
Jackson yang berusia 50 tahun meninggal dunia akibat masalah jantung di UCLA Medical Center, Los Angeles pada Khamis lalu.

Ketika ini, ramai peminat yang bersedih dan stesen radio mahupun televisyen di seluruh dunia turut memberikan penghormatan dengan memainkan kembali lagu popularnya.

Hakikatnya, Jackson memberikan pengaruh yang kuat pada persada hiburan antarabangsa hinggakan peminat di mana saja berkongsi kesedihan dan bersimpati dengannya.

Biarpun ada peminat yang tidak dapat terima kenyataan Jackson pergi untuk selamanya, penghormatan peminat terhadapnya tetap diabadikan.

Di kalangan artis tempatan, kematian Jackson turut dirasai. Mungkin tidak ramai yang tahu, Jackson pernah hadir ke negara ini mengadakan persembahan sempena History Tour In Concert yang diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 1996.

Penyanyi Jamal Abdillah yang mempunyai kecenderungan minat yang sama iaitu muzik pop, menganggap Jackson adalah pencetus muzik pop moden.

Katanya, biarpun tidak berkesempatan menonton konsert penyanyi itu ketika hadir di negara ini suatu ketika dulu, dia tetap menghormati Jackson sebagai penghibur terkenal dunia.

"Dia bukan hanya memperkenalkan muzik pop moden, tetapi menampilkan kehebatan pada tarian dan nyanyian. Di awal pembabitan dia dalam bidang muzik, tiada penyanyi yang membawa imej dan konsep muzik sepertinya.

"Ketika berkarya, dia juga kreatif dalam aspek tarian, nyanyian dan penampilan. Saya sendiri meminatinya dan turut mengumpul pelbagai albumnya bermula Thriller (1982).






"Walaupun saya juga penyanyi pop, tetapi saya tidak mampu meniru suaranya yang halus dan bernada tinggi. Sebaliknya, saya gemar meniru cara pakaiannya.




"Kelebihan yang dimilikinya menjadikan dia adalah penghibur satu dalam sejuta dan ia tidak ditandingi penyanyi lain. Malah, saya berpandangan, dia mempunyai pakej lengkap sebagai penghibur yang diminati ramai.

"Menjadi lumrah, kita akan lebih mengenang kehilangan seseorang apabila mereka sudah tiada. Kehilangan Jackson sama seperti kematian penghibur popular lain antaranya Elvis Presly mahupun Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu mereka juga mempunyai masalah peribadi yang tidak dapat dielakkan.

"Bagi Jackson, mungkin masalah peribadi seperti 'ketelanjuran' dia melakukan pembedahan plastik pada wajah memberi tekanan pada diri hingga ke akhir hayat.

"Hakikatnya, ramai penghibur di dunia yang mempunyai masalah peribadi cuma ada masalah yang hanya dikongsi dengan individu terdekat," katanya.

Jamal akui penghibur seperti Jackson yang menjadi legenda pada bidang muzik dunia lebih gemar memendam perasaan dan masalah peribadi berbanding meluahkannya kepada peminat. Sebagai peminat, Jamal berharap Jackson dapat penghormatan yang setaraf dengan penghibur lain seperti Presly dan Jimi Hendrix.

Bagi penyanyi Raja Putri Atilia Raja Haron atau Atilia, 34, dia pernah menonton konsert Jackson sebanyak dua kali iaitu di Kuala Lumpur dan Singapura ketika penghibur antarabangsa itu mengadakan persembahan jelajah di seluruh dunia.

Biarpun tidak berkesempatan bersalam dan menyaksikan dengan dekat, dia tetap berbangga kerana tidak melepaskan peluang menonton persembahan hebat itu.

"Kehilangan Jackson memberi kesan yang sangat besar pada industri hiburan antarabangsa. Bagi mereka yang lahir pada 70-an seperti saya, Jackson memberi pengaruh muzik yang kuat kepada peminatnya.

"Saya amat meminati karya muziknya apatah lagi dia pernah bekerjasama dengan komposer Quincy Jones menerbitkan album Thriller yang mendapat sambutan menggalakkan daripada ramai peminat.

"Selain bakat Jackson sebagai penyanyi, saya menganggap dia juga adalah perintis muzik video yang lebih kreatif.

"Aspek audio dan visual, kedua-duanya memainkan peranan yang penting dan mempunyai seimbang. Malah, ketelitian dia yang mengambil berat soal kualiti muzik sepatutnya dicontohi penyanyi lain.

"Pada saya, hanya dia penyanyi yang diberi penghormatan apabila lagunya dimainkan semula mungkin selama seminggu hingga dua minggu. Nyata, pengaruh Jackson pada peminat di seluruh dunia lebih besar berbanding presiden Amerika Syarikat sendiri.

"Jika benar dia dikebumikan secara Muslim, saya mendoakan rohnya dicucuri rahmat. Sebagai peminat, saya mengharapkan perkara negatif mengenainya tidak lagi diungkit.

"Cukup sekadar, kita berbangga Jackson dikenali sebagai penghibur antarabangsa yang dikasihi ramai peminat," katanya.

Perasaan sedih juga dikongsi pelakon dan pereka fesyen terkenal, Zaharudin Abd Wahab atau Den Wahab.

Den berkata tidak dinafikan Jackson mempunyai ramai peminat di negara ini.

Lebih bermakna, Jackson meninggalkan kenangan manis ketika berkunjung mengadakan persembahan di Malaysia.

Mungkin tidak ramai yang tahu, Den pernah diminta penganjur konsert berkenaan untuk menyiapkan sepasang baju Melayu hitam bersama samping dan mafela yang dipakai pada satu majlis yang diadakan di Hotel Concerde, Kuala Lumpur.

Acara itu bersempena dengan persembahan konsertnya.

"Baju Melayu itu sepatutnya dipakai dalam satu acara bersama anak yatim, tetapi dia tetap pakai selepas itu untuk acara lain. Ketika mahu membuat baju itu, saya tidak berkesempatan bertemu dengannya kerana ukuran badan diberikan pengurusnya hingga ada kru lain yang menyiapkannya.

"Meskipun saya tidak sempat bertemu dia dan menonton konsertnya, saya tetap gembira apabila dia mengenakan baju rekaan saya yang membawa identiti Kebangsaan negara ini.

"Dia ambil baju itu sebagai kenangan mengadakan persembahan di negara ini.

"Secara peribadi, saya meminatinya sejak dia aktif bersama kumpulan adik-beradik, Jakson 5. Hingga kini, saya masih mengumpul koleksi albumnya.

"Saya masih ingat, saya mula minat dengan muziknya ketika saya di sekolah menengah. Saya sendiri turut bersedih apabila dia sudah meninggal dunia," katanya.

Den, 46, turut menjual rekaan baju yang sama ketika acara jualan dan lelong amal, ABPBH 2008 Untuk Gaza yang diadakan di Amcorp Mall, Petaling Jaya, Selangor pada 31 Januari lalu. Misha Omar pula turut berkongsi kesedihan apabila mendengar kematian Jackson secara mengejut.

Katanya, ketika mendengar berita sedih itu, dia berada dalam kesesakan lalu lintas. Perasaannya menjadi sebak apatah lagi stesen radio kerap memainkan lagu Jackson secara berulang.

"Saya antara peminat setia Jackson dan turut mengumpul album bermula Dangerous (1991). Sebagai peminat, saya menangis dan sebak apabila bidang hiburan antarabangsa kehilangan penghibur yang disegani ramai.

"Pada saya, muzik Jackson adalah malar segar dan popular sampai bila-bila. Jackson tahu kekuatan vokal dan pergerakan ketika beraksi di atas pentas. Dia seorang yang bijak dan tiada dua antara penghibur lain," katanya.

No comments:

Post a Comment