Wednesday, July 1, 2009

Depan Mata: Michael atau Mikael

Depan Mata: Michael atau Mikael
Oleh Hartati Hassan Basri


Rap
JUMAAT lalu kita dikejutkan dengan berita kematian Raja Pop, Michael Jackson, dalam usia 50 tahun. Punca kematiannya kerana jantung berhenti secara mengejut (cardiac arrest) selepas pengsan di rumah sewanya di Holmby Hills dan tidak bernafas ketika paramedik sampai.
Selepas diberi rawatan kecemasan, Jackson dikejarkan ke UCLA Medical Center, Los Angeles dan disahkan meninggal dunia melalui pengumuman dilakukan abangnya, Jermaine.

Ramai bertanya bagaimana status sebenar agama Jackson dan apakah dikebumikan secara Islam. Jackson dikatakan memeluk Islam dalam satu acara di rumah kawannya di Los Angeles pada 21 November tahun lalu. Dia dikatakan duduk dengan berkupiah dan mengucapkan syahadah di depan imam masjid dan menukar namanya kepada Mikaeel.

Jackson juga dikatakan mula mengamalkan cara hidup Muslim sedikit demi sedikit. Membaca al-Quran dikatakan menjadi amalan hariannya malah mengakui menemui kekuatan dan kesungguhan dalam menempuh pelbagai dugaan dan rintangan dalam hidupnya kini.

Jurucakap penghibur legenda itu mengatakan, pihaknya sudah mengesahkan kepada semua media di seluruh dunia mengenai kebenaran desas-desus mengatakan Michael Jackson kini memeluk Islam. Berita itu bukanlah sesuatu yang mustahil kerana Jermaine sendiri memeluk Islam pada 80-an.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, hijrahnya kepada Islam dikaitkan kononnya Raja Pop itu berdepan masalah undang-undang dengan Putera Bahrain, Sheikh Abdulla Hamad Al Khalifa yang menyamannya sejumlah AS$7 juta berhubung isu wang pendahuluan yang disangka Michael adalah pemberian Sheikh Abdulla.

Cerita Jackson memeluk Islam berlalu begitu saja. Dalam pada itu, Jackson dikatakan bergelut dengan maut. Khabar angin mengatakan dia memerlukan pembedahan pemindahan paru-paru.

Tetapi dalam sibuk membuat persiapan menjayakan konsertnya di London pada 13 Julai ini, seluruh dunia dikejutkan dengan berita kematiannya. Hakikatnya, sejak enam bulan lalu, macam-macam cerita mengenai Jackson dilaporkan.

Telinganya dikatakan rosak disebabkan sebahagian kulit dan tulang rawannya dipotong dalam tempoh beberapa tahun untuk membentuk semula hidungnya. Penyanyi yang popular dengan lagu Beat It dan Thriller itu juga dikatakan takut hidungnya jatuh.

Malah Jackson dikatakan meluahkan kebimbangan akan mati dalam masa terdekat ini. Dia yang disahkan menghidap barah kulit, enggan makan dan berat badannya dilaporkan kurang daripada 57 kilogram. Ia tidak sesuai dengan ketinggiannya 1.75 meter.






Jackson juga menjalani pembedahan membuang sel barah yang dikhuatiri akan membesar di dada, lengan dan hidungnya.




Agak menyedihkan kerana dengan kejayaan dan kekayaan dicapai, tetapi pada akhir hayatnya Jackson yang cukup dikenali dengan gerak tari robot dan moonwalk, berhadapan masalah kewangan hingga hilang harta kekayaan dan Jackson tinggal di rumah sewa.

Ternyata kejayaan diraih sejak mengecapi populariti ketika usia 11 tahun tidak seindah dibayangkan. Begitulah lumrahnya kehidupan seorang bintang, akhirnya hidup sepi atau menderita menjalani hari-hari tua.

Bapa tiga anak ini tidak menemui cinta sejati walaupun dua kali berkahwin. Kali pertama dengan Lisa Marie Presley pada 1994 dan tahun sama berkahwin dengan Debbie Rowe hingga mendapat dua anak, Prince Michael dan Paris Michael manakala anak ketiga, Prince Michael II dikatakan lahir daripada ibu tumpang.

Tidak cukup dengan itu, berhadapan perbicaraan mahkamah kerana saman dan juga tuduhan mencabul kanak-kanak. Bukan sekali tetapi kes pertama pada 1993 dan Jackson membayar jumlah yang besar untuk menyelesaikannya di luar mahkamah kemudian 2005 sekali lagi.

Mungkin semua kejayaan diraih tidak cukup baginya hingga cuba mengubah dirinya daripada budak kulit hitam yang comel menjadi lelaki kulit putih dengan hidung mancung melalui pembedahan demi pembedahan hingga hilang identiti dirinya.

Jika benar Jackson mendapat hidayah pada saat akhir hayatnya, pemergian menghadap Penciptanya pada pagi Jumaat lalu adalah jalan terbaik untuk dirinya supaya tidak terus menderita. Sebagaimana ucapan Jermaine, "Allah akan sentiasa bersama kamu dan saya sayang kamu."

Jumaat lalu juga, saya tidak melepaskan peluang menyaksikan Konsert Eksklusif Satu Datuk Siti Nurhaliza di Istana Budaya. Penyanyi yang satu ini mula mengecapi populariti ketika usia 16 tahun pada 1996.

Hingga kini kehadirannya belum mampu digugat pendatang baru dan Siti terus meraih kejayaan demi kejayaan.

Siti juga digelar Ratu Pop dan juga Ratu Irama Tradisional. Semoga Siti terus berjaya dan berharap populariti dan pujian melangit diterima tidak mengubah dirinya.

Selagi kita sentiasa mensyukuri nikmat Tuhan dan mengingati Yang Maha Kuasa, Insya Allah kita sentiasa dalam lindungan-Nya dan berada dalam landasan yang benar. Jalani kehidupan sebagaimana manusia biasa dengan penuh ketenangan dan rasa syukur atas segala nikmat-Nya.

No comments:

Post a Comment